Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merupakan universiti awam ke-17 Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2001, bermula sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) sebelum dinaik taraf pada 2007. Dengan visi untuk menjadi universiti teknikal yang kompetitif di peringkat antarabangsa, UniMAP menumpukan pada penghasilan jurutera yang berkemahiran tinggi bagi menyokong pembangunan industri negara.
UniMAP menawarkan 33 program ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan, perniagaan, dan media baharu. Selain itu, terdapat 6 program diploma dan pelbagai program pascasiswazah yang melibatkan kajian dan penyelidikan. Pelajar juga dapat menjalani pembelajaran berorientasikan praktikal melalui kaedah “3u1i” (3 tahun di universiti dan 1 tahun di industri), memberi pengalaman langsung dalam dunia pekerjaan.
UniMAP aktif menjalankan lebih 50 projek komuniti untuk melahirkan graduan yang seimbang dan berdaya keusahawanan. Program-program utama seperti “Tujuh Tonggak UniMAP” dan “Service Learning Malaysia University for Society (SULAM)” direka bagi memperkasa pembangunan personaliti dan semangat khidmat masyarakat di kalangan pelajar.
Dengan lebih daripada 13,000 pelajar tempatan dan antarabangsa, UniMAP terus menjadi pilihan sebagai institusi pendidikan teknikal terunggul yang menawarkan pendidikan berkualiti tinggi dan peluang biasiswa untuk memajukan pembangunan sosioekonomi negara serta masyarakat global.